Ceritera Kehidupan #3

Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Ceritera Kehidupan 3; Satu Refleksi.

Selepas membaca surat yang dihantar oleh Aida Azlin hari ini membuat aku merenung dan berfikir kembali -- Apakah nikmat nikmat Tuhan yang Dia serahkan hari ini yang masih tidak aku sedari?

Apabila Aida menyentuh tentang bagaimana Nabi Ibrahim yang digelar Khalilullah, dilindungi kehidupannya apa bila 100% kebergantungannya diletakkan kepada Tuhan. Maka apabila hati kita bertaut bersama Yang Esa, apakah lagi yang dapat menghalang dari Dia melindungi dan mengarahkan sang api untuk menjaga 'sahabat'Nya.

Aku; orangnya penuh dengan dosa dosa. Seringkali merasakan susah sekali untuk meletakkan rasa reda itu apabila pelbagai ujian datang menyapa. Bukan mudah untuk menerima dugaan tersebut, apatah lagi meletakkan sepenuh pengharapan kepada Dia. Tiada alasan yang mampu diberi, hanya jauhnya hati ini dengan Tuhan, itulah asbabnya.

Dalam kehidupan Anbiya', kita disajikan dengan kisah kisah ketaatan mereka kepada Allah s.w.t, Tuhan yang Satu. Tahap keimanan dan ibadah mereka tidak mampu ditandingi aku; insan marhaen ini. Namun aku sedar, usaha aku sendiri dalam mengingatiNya juga begitu lemah. Namun, Tuhan masih lagi berasa simpati dan membantu aku hingga ke hari ini.

Pelbagai nikmat dan perlindungan di dalam hari hari ku masih lagi diberikan Dia. Jujur aku katakan, aku berasa sangat disayangi Tuhan apabila dibantu aku dalam setiap sudut kehidupan. Dicampakkan juga rasa ini agar tidak ku jauh tersasar dariNya, aku bagaikan masih dinasihati dan ditegur Ilahi. Sedang lemahnya pengharapan hati ku dalam menerima Qada' dan Qadarnya.

Maka pagi ini aku membuat satu refleksi -- bertanya kepada hati, di manakah kepercayaanmu dan kebergantunganmu kepada Ilahi? Moga diteruskan usaha untuk mendekatkan diri kepadaNya, agar tibanya suatu hari agar hati aku mampu digelar Khalilullah jua, atau mungkin cukup apabila Tuhan melihat usahakan aku mendekatiNya, dan agar seperti Kesayangan Tuhan, Nabi Ibrahim dengan yakin aku bisa berkata "Cukuplah bagiku Engkau sebaik-baik Penolong" andai badai tiba.

NY.
21072020.
9.34 am.


Comments

Popular Posts