Ceritera Hidup #2

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Ceritera Hidup #2 : Selamat Pagi

"Nadia, aku nak tanya sesuatu boleh ke?"
"Apa dia?"
"Kenapa kau suka sangat tweet selamat pagi ek? Kau tujukan pada siapa sebenarnya?"

Aku tersenyum sendiri. Sejak PKP bermula, sudah menjadi tabiat aku untuk mengucapkan Selamat Pagi di laman ciapan aku. Sedari mula aku sudah jangkakan pasti ada yang akan salah faham, iya lah tiba-tiba sahaja aku memulakan hari aku dengan melisankan perkataan tersebut.

Sedang sebenarnya, aku hanya menikmati indahnya permandangan matahari menerbitkan diri. Berbeza dengan rutin harian ku di hostel, kebiasaanya pasti akan aku tidur kembali seusai solat subuh akibat penat menyiapkan kerja pada malam hari. Tetapi ketika musim PKP ini pagi aku diisi dengan melihat pemandangan di luar tingkap sambil menghirup teh kegemaran, sedikit demi sedikit.

Mendengar ciapan burung-burung, merasakan sejuknya angin pagi yang meniup lembut, dan menikmati heningnya subuh setiap pagi; indah, tenang. Antara semua, tidak terungkap indahnya landskap yang diambil deria penglihatanku, apabila bangkitnya matahari; si pemberi cahaya, menghangatkan dunia. 

Manis sekali rasa itu. Melihat kegelapan dunia yang mula disinari dengan silau matahari. Ia seperti menawarkan harapan pada hati hati yang terbungkam pada malamnya. Aku dapat merasakan hatiku berbisik; "Ah, begitulah kehidupan. Ada hari-hari yang kesukaran membelenggu, yang hatimu dijerut kedukaan, sehingga kau rasakan seakan berakhir sudah peluang dan harapan. Namun, percayalah kata TuhanMu, pasti ada secebis binar dan pendar disebalik nestapa itu. "

Indah nian ciptaan Tuhan. Melihat sang suria sahaja mampu menitiskan sebuah pengharapan, Maka, itulah permulaan hari-hariku. Memanjakan mata, membangkit senyuman manis di bibir. Batinku damai, menatap kebesaran dan kekuasaanNya. Maka, seperti kemuncup yang bertebaran sayapnya dek diterbangkan angin, ingin aku menyebarkan rasa ini melalui tiga kalimah indah;
Selamat Pagi, Semua.

Terima kasih atas pengajaran ini, Tuhan.


NY.
0506020.
12.11 a.m.

Comments

Popular Posts