Ceritera Hidup #1

Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.

Sepanjang tempoh 21 tahun aku membesar, banyak sangat pengalaman di antara aku dan hospital. Aku ni boleh dikira kategori mudah jatuh sakit, ada je alasan dan benda yang terjadi. Boleh nak kata dari aku tadika hingga besar panjang di alam universiti ini akulah yang masih memegang tampuk mudah sakit di kalangan adik beradik aku. Patutlah mama sangat tekankan agar aku jangan mengada ikut kata hati untuk keluar berjalan ketika awal musim penyebaran COVID-19 tempoh hari ketika aku masih di universiti. Anaknya yang bongsu ini imuniti badan agak lemah.

Tengoklah, duduk di rumah sahaja sepanjang tempoh PKP ni pun berapa kali aku demam, sakit kepala dan terbaru, masalah gigi geraham. Tapi, bukan itu yang aku mahu tekankan dalam ciapan kali ini. Membesar dengan pelbagai masalah kesihatan, aku cenderung untuk overthink apabila badan aku menunjukkan simptom kecil — kerana itu yang selalu berlaku sebelum ini; rasa pedih ketika membuang air rupanya jangkitan di buah pinggang, rasa sakit di tapak kaki kesannya aku terlantar di hospital ketika aku hanya berumur 5 tahun. Siapa sangka pada awalnya? 

Sejujurnya, kesan paling ketara adalah setiap kali aku melangkah ke rumah sakit, baik klinik atau hospital. Setiap kali bauan tempat itu menusuk ke hidung, bulu roma ku akan menegak dan tanpa ku sedar badan ku menggigil. Ya, aku jadi takut dan gelisah setiap kali ke klinik. Namun anehnya simtom itu selalunya boleh dikawal jika ibu bapa aku bersama aku. Aku jadi lebih tenang, lebih selamat. Mungkin memori lalu banyak memberi impak kepada kehidupan aku sekarang. Ketika aku kecil, mama dan abah sentiasa menemani ketika aku menerima rawatan. Mungkin lebih selesa tempat ini jika dihadiri bersama mereka.

Inilah punca aku sentiasa cuba untuk lari setiap kali perlu untuk menerima rawatan. Bayangkan ketika aku keracunan makanan; mual, diarhea, demam, hanya pada hari ke empat aku pergi ke klinik. Itupun setelah didesak berkali kali oleh rakan rakan (Terima kasih, Jannah). Jika demam panas, aku lebih selesa untuk bergantung kepada panadol. Namun tempoh hari, ia seperti mimpi ngeri bagi aku. Kesakitan bengkak di gusi belakang ini seperti ingin membunuhku. Mahu telan air liur pun seperti berperang dengan diri sendiri sakitnya. Namun, kedua mama dan abah ada meeting virtual yang perlu dihadiri. Nana dan kakak masing masing masih di tempat kerja. 

Akhirnya, aku perlu untuk pergi sendiri. Temu janji aku pada jam 11 pagi namun seawal 7 pagi aku sudah bersiap — bukan takut akan rawatan tetapi gelisah perlu melangkah ke tempat itu sendiri! Berapa kali aku berulang naik turun tangga sebelum melangkah ke dalam klinik gigi itu. Seminit pertama di dalam klinik aku menggigil. Ketika ini seperti berperang dengan psikologi sendiri. Frasa seperti ‘you did well’ ‘tenang nadia’ ‘kejap je ni’ berlegar legar di kepala. Mungkin jururawat di situ juga pelik kenapa aku tiba tiba melakukan deep breathing. Siapa tahu apa yang aku pelajari di Mental Health Advocators Camp dulu bermanfaat untuk aku kini. 

Memasuki minit kedua, aku sudah mula untuk bertenang. Aku dapat rasakan satu persatu bulu roma aku mula untuk merehatkan diri mereka. Ketika itu aku sangat bangga dengan diri sendiri. Bukan mudah untuk aku atasi ketakutanku ini. Melangkah sendiri ke tempat yang mencengkam satu memori. Mungkin kecil bagi orang lain, tapi kau sungguh hebat, Wan Nurul Nadia! Moga di masa hadapan, kau terus cuba untuk perbaiki diri sendiri dan atasi semua ketakutan hidup ❤️


NY.
18052020.
11.05 a.m.

Comments

Popular Posts